JANUARI 2023

Sarawak Sasar Eksport Industri Perkayuan RM8.49 Bilion Menjelang 2030


KUCHING: Sarawak mensasarkan industri perkayuan mencapai perolehan eksport sebanyak RM8.49 bilion menjelang 2030. 

Timbalam Premier Sarawak,  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sasaran itu kekal kerana industri perkayuan kini semakin berkembang di Sarawak.

Antaranya berasaskan panel, kayu kejuruteraan, perabot dan produk berasaskan buluh.

"Untuk mencapainya, industri perkayuan mesti menyesuaikan diri dengan perubahan dan tidak lagi menggunakan cara tradisional kepada pemprosesan nilai tambah tinggi," katanya semasa Majlis Perhimpunan Khas Pelancaran Sambutan Perayaan Jubli Emas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di Wisma Sumber Alam, di sini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA berkata, industri terbabit juga mesti cekap memproses bahan perladangan sama ada kayu dan buluh untuk menghasilkan inovasi produk berdaya saing di pasaran global. 

Sementara itu, Pengurus Besar PUSAKA, Datu Hashim Bojet berkata, 2022 merupakan tahun mencabar kerana kesan pandemik Covid-19 dan keseluruhannya dari segi kapasiti pengeluaran kilang barangan kayu menguncup sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Namun katanya dari segi jumlah nilai eksport tahun lalu, Sarawak telah mencatat peningkatan eksport dari RM3.6 bilion pada 2021 kepada RM3.95 bilion tahun lalu.

Katanya, untuk meningkatkan daya saing, teknologi yang digunakan perlu dinaik taraf iaitu Industri 4.0 (IR4.0) yang sesuai harus digunakan.

Sumber dari : Jiwa Bakti